Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' :
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini bukanlah suatu yang dijanjikan dengan pelbagai kemudahan dan kesenangan serta tidak pula dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya perjuangan suci ini menuntut kepada semaksima mungkin pengorbanan daripada pejuang Islam dari segi masa, harta, pemikiran hatta nyawa itu sendiri sebelum datangnya pertolongan dan janji kemenangan daripada Allah. Kebenaran Islam dengan sumber rujukan utama iaitu al-Quran yang diturunkan oleh Allah Tuhan Pencipta seluruh makhluk termasuklah manusia bukanlah merupakan suatu tiket yang memudahkan Islam untuk diterima oleh umat manusia kerana hati yang tertutup daripada menerima kebenaran Islam bukan sahaja menolak Islam malah sentiasa berusaha siang dan malam dalam memadamkan cahaya agama Allah dengan pelbagai usaha dan cara. Ketika menyoroti perjalanan dakwah yang telah dimainkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sendiri maka kita dapati bagaimana pahit getir liku perjuangan yang telah diharungi oleh baginda sebelum mencapai kemenangan yang besar. Sebagai seorang nabi lagi rasul untuk umat akhir zaman maka ujian, cabaran dan tentangan yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam memastikan Islam dapat memerintah dan memimpin dunia begitu kuat dan hebat meliputi serangan mental dan fizikal dalam menguji kesungguhan, kesabaran dan keimanan kepada Allah. Malah ketika nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sejak dahulu lagi sebagai seorang amanah dan bercakap benar menceritakan mengenai Isra’ Mikraj kepada penduduk Mekah maka timbulnya penentangan yang lebih kuat bukan sahaja daripada kalangan orang kafir malah ada orang yang telah beriman kembali murtad.
Antara ujian dan tekanan hebat yang pernah dilalui oleh nabi Muhammad s.a.w ialah apabila bertambahnya penentangan terhadap dakwah Islam serta penyeksaan terhadap batang tubuh nabi selepas kewafatan isteri tersayang iaitu Siti Khadijah yang selama ini menjadi penghibur, pembantu serta tempat mengadu di mana beliau mempertahankan suaminya yang bergelar rasul ketika umat manusia menentangnya. Begitu juga dengan kewafatan bapa saudaranya Abu Tolib yang selama ini banyak membantu tugas nabi dalam mengembangkan dakwah Islam walau pun beliau sendiri sehingga akhir hayatnya tidak memeluk Islam. Nabi Muhammad s.a.w menamakan tahun kewafatan kedua-dua manusia yang telah banyak berjasa itu sebagai Tahun Dukacita bukan disebabkan terlalu sedih dengan kewafatan keduanya sebaliknya kerana kesedihan akibat dakwah Islam semakin mendapat tentangan yang hebat sehingga setengah ulama’ mengatakan bahawa selepas kewafatan keduanya maka tidak ada seorang pun memeluk Islam dalam masa yang agak lama tidak sebagaimana sebelum ini. Begitu juga dengan penyiksaan terhadap batang tubuh nabi Muhammad s.a.w semakin kuat sehingga tekanan terhadap mental dan fizikal baginda semakin hari semakin bertambah. Antara hikmat kepada kewafatan keduanya adalah bagi memastikan nabi mampu berdikari dan bergerak lebih maju dalam mengembangkan dakwah Islam tanpa perlu rasa terlalu bergantung kepada sesiapa kecuali Allah serta dapat menepis tuduhan liar pihak musuh Islam yang mendakwa bahawa dakwah Islam hanya berjaya kerana nabi Muhammad s.a.w dilindungi oleh Abu Tolib. Oleh itu dalam berjuang maka kita mesti bergantung harapan sepenuhnya kepada Allah bukan selainNya.
Selepas menghadapi penentangan dan penyiksaan yang begitu hebat di Mekah lalu Nabi Muhammad s.a.w cuba mengorak langkah untuk mengembangkan dakwah Islam kepada penduduk Taif namun cita-cita sucinya tidak tercapai apabila seruannya kepada penduduk Taif bukan sahaja diejek dan dimaki hamun malah penduduk Taif menyuruh khadam dan budak-budak kecil berbaris disepanjang jalan bertujuan supaya melontar nabi dengan batu sehingga tubuh baginda berlumuran darah walau pun Zaid bin Harithah cuba untuk melindungi tubuh nabi daripada terkena lontaran tersebut. Inilah antara kemuncak kepada ujian Allah kepada nabi Muhammad s.a.w bagi memperteguhkan keyakinan dan semangat baginda dalam meneruskan perjuangan Islam. Tidak cukup dengan penduduk Mekah yang menentang dan menghalaunya ditambah dengan penduduk Taif yang mengengkarinya. Melihat penderitaan nabi Muhammad s.a.w dan ejekan penduduk Taif terhadapnya maka datangnya malaikat yang menawarkan agar dia diberikan kebenaran untuk menghempapkan penduduk Taif yang engkar itu dengan bukit tetapi nabi Muhammad s.a.w menolaknya kerana menaruh keyakinan bahawa daripada keturunan manusia yang engkar itu bakal lahirnya generasi yang bakal menerima dan memperjuangkan Islam. Islam bukannya agama membalas dendam sebaliknya dakwahnya memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran sebelum datangnya kemenangan dan kegemilangan di dunia dan akhirat.
Ketika menyentuh mengenai pengorbanan maka kita turut mengingati bagaimana nabi Muhammad s.a.w ketika bersama malaikat Jibril naik ke langit semasa peristiwa Isra’ Mikraj telah menghidu bau yang begitu harum yang keluar daripada bau Masyitah iaitu penyikat rambut puteri Firaun yang telah direbus hidup-hidup dalam kawah yang menggelegak airnya bersama keluarga tercinta demi mempertahankan keimanannya. Begitu juga nabi diperlihatkan segolongan manusia yang menanam dan mengetamnya setiap hari tetapi tanaman itu kembali sebagaimana biasa dan kemudian diketam lagi begitulah seterusnya dimana ia merupakan kelebihan yang dianugerahkan kepada pejuang yang berjuang pada jalan Allah. Benarlah janji Allah sebagaimana dalam ayat 169 surah Ali ‘Imran :
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu telah mati. Bahkan mereka terus hidup di sisis Tuhan mereka dengan mendapat rezeki
Jika umat Islam pada hari ini ditimpa dengan pelbagai tekanan dan penindasan dalam mempertahankan keimanan dan menjaga kesucian agama Islam maka ia sudah menjadi sunnatullah dan bukanlah suatu yang pelik kerana nabi Muhammad s.a.w menerima ujian yang lebih hebat lagi. Jangan rasa jemu dan takut dalam meninggikan kalimah Allah kerana kita mesti yakin bahawa kita bukan orang pertama yang memulakan kerja suci ini dan kita juga bukan orang yang terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita merupakan antara rantaian perjuangan yang pernah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang sebelum kita dan ia bakal diteruskan oleh generasi selepas kita sehinggalah hari qiamat. Kita yang dianugerahkan nikmat merdeka mestilah mengisikan kemerdekaan dengan melaksanakan Islam bukan mengenepikannya. Kita juga mesti menghulurkan bantuan kepada saudara seagama yang sedang ditekan dan ditindas terutama saudara kita di Selatan Thailand yang sedang menderita sehingga ada yang terpaksa mencari perlindungan di negara kita. Begitu juga ketika mengingati peristiwa Isra’ Mikraj maka kita mesti ingat dan berusaha dalam memerdekakan semula Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman yahudi di mana mereka bersandiwara dengan berundur dari Gaza sedangkan kawasan sekitar Palestin terus dirampas.Antara perkara yang mesti dilakukan oleh umat Islam dalam memperteguhkan pendirian dan menaikkan semangat jihad dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam ialah dengan sentiasa menjaga solat yang merupakan rukun Islam yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w semasa Isra’ Mikraj. Tanyalah diri kita berapa lamakah kita menunaikan solat 5 waktu dengan 17 rakaat sahaja sehari semalam berbanding kita menghabiskan masa di pejabat, sekolah, padang bola, kedai makan, menonton tv dan selainnya. Bila kita bayangkan betapa luasnya Syurga tetapi ramai umat manusia yang tidak ingin memasukinya akibat terpesona dengan dunia maka begitulah juga kita dapat lihat betapa lengangnya masjid walau pun luas dan masuknya percuma sedangkan ramai umat Islam menjauhinya. Oleh itu ubahlah sikap dan keadaan dengan memperbaiki mutu solat kita dan cubalah dengan sedaya upaya dalam menarik lebih ramai umat Islam terutama golongan remaja untuk berjinak dengan masjid. Binalah umat kemenangan dengan solat dijadikan teras kekuatan utama. Ingatlah kita bahawa umat kemenangan bukan semata-mata diraih dengan ramai tentera, hebatnya senjata tetapi apa yang lebih penting ialah dekatnya hubungan kita dengan Allah terutama melalui solat yang ditunaikan dengan penuh amanah.
Renungilah firman Allah dalam ayat 286 iaitu penutup surah al-Baqarah:
Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.
Halaman
4 Sept 2011
SOLAT TERAS KEKUATAN UMAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment